Khamis, 25 April 2013

DEMAM PILIHAN RAYA 1.0 PARTI vs PARTI




Musim-musim pilihan raya ni semua orang mula demam. Sudahlah cuaca sekarang musim panas, hujan lebat yang turun membasahi bumi pun tak dapat memadamkan bahang kepanasan pilihan raya kali ni. Ramai juga yang melabelkan PRU kali ini sebagai "Ibu Segala Pilihan Raya". Apa tidaknya, semua calon yang masuk bertanding akan berusaha bersungguh-sungguh untuk dapatkan laba dunia, kerusi kekuasaan. Dalam usaha mereka, ramai juga yang dah melupakan keimanan dan mula melebarkan dakwah politik kebencian.

Pada pengamatan saya, satu pihak cuba menjatuhkan lawannya dengan mengatakan bahawa pihak yang satu lagi zalim, tidak adil, sentiasa menindas, pro porno dan seribu satu sifat negatif semata-mata mahu menjatuhkan kredibiliti pihak lawan. 

Satu lagi pihak juga mengambil pendekatan yang sama dengan menyerang peribadi pemimpin-pemimpin parti lawan bagi maksud dan objektif yang sama. Bukan setakat pemimpin sahaja yang diserang, ahli keluarga pemimpin turut diserang. 

Yang pastinya mereka tidak 100% melaksanakan apa yang mereka perlu laksanakan iaitu mempromosikan ideologi mereka dan pelan tindakan mereka untuk mentadbir negara sekiranya mendapat mandat daripada rakyat. Tetapi sibuk menginjak imej pemimpin dan parti lawan supaya dibenci oleh masyarakat pengundi. Akhirnya, masyarakat yang keliru. Bukan setakat pengundi atas pagar, pegangan dan kepercayaan ahli-ahli parti juga sebenarnya sudah mula goyang dek sentiasa termakan dengan dakyah-dakyah yang dilemparkan secara bertubi-tubi oleh rakan-rakan mereka dalam parti.

Apa tidaknya, isu yang dilemparkan untuk menjadi perangkap beracun kepada pihak lawan digarap semula oleh pihak lawan untuk dilemparkan kembali sebagai racun untuk anggota parti mereka. Memang benarlah pepatah melayu "pulang paku buah keras". Cuma dalam hal ini, kedua-dua pihak memulangkan paku masing-masing dan akhirnya memakan diri masing-masing. Yang herannya, paku yang diberi dan dipulangkan paku yang sama. Yang satu kata, yang sebelah sana korup dengan turut kemukakan bukti. Yang sini kata, pemimpin lawannya juga korup dengan turut dikemukakan bukti. Yang satu kata, yang sebelah sana kurang bermoral dengan turut kemukakan bukti. Yang sini kata, pemimpin lawannya juga kurang bermoral dengan turut dikemukakan bukti. Jadi?? mana satu yang betul?? ke semua mereka ni sama je?? Kedua-duanya hanyalah pelakon-pelakon handalan yang melakonkan watak baik, dalam masa yang sama membunuh watak lawan dengan susunan 'ayat-ayat power' demi mengaburi mata penyokong dan mendapat undi rakyat. 

Bila satu pihak buka mulut, kita sebagai rakyat rasa seperti apa yang dikatakan itu ada kebenarannya. Tapi apabila satu lagi pihak pula mengemukakan bukti dalam isu sama, kita juga turut merasakan bahawa memang ada kebenaran dalam hujah tersebut. Mahu cari info yang sebenar, di mana pula hendak dicari kerana semua bukti yang dikemukakan seperti didapatkan melalui sumber-sumber yang sulit. 

Panas! Panas! Panas! Sudahlah cuaca panas, isu-isu yang dilemparkan juga panas. Otak semakin ribut. Perasaan semakin bergelora. Oh! Poning palo den!! Mano tak domam dibueknyo??!!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan