Selasa, 30 April 2013

TENTERA BANGLA PERGI MENGUNDI

    Gambar hiasan sahaja...

Dua hari lepas, ada aku komen pasal kes 42 orang tentera pelbagai bangsa (seolah-olah bukan warganegara) yang diperkatakan oleh seorang pemimpin parti politik sebagai telah didaftarkan sebagai pengundi. Semalam aku jumpa dengan seorang rakan yang dulu pernah sama-sama dalam perjuangan. Dia ni pakar IT dan dia jugalah yang selalu buat analisis CD daftar pemilih. Lama juga kami bincang pasal isu daftar pemilih yang melibatkan so called 'warga asing' dalam data structure CD daftar pemilih. CD daftar pemilih mempunyai data yang sama macam yang dalam buku iaitu nombor siri, nombor kad pengenalan lama, nombor kad pengenalan baru, nama pengundi, bahagian pilihan raya, lokaliti dan nombor rumah.

Aku bukan faham sangat bahasa IT, tapi aku rasa secara keseluruhan dia cakap macam ni:

  1. Data dalam CD diberi dalam bentuk table
  2. Data dibahagikan mengikut cloumn. Dalam setiap column ada tajuk data nama, nombor kad pengenalan, lokaliti dan lain-lain.
  3. Dalam setiap row ada butiran maklumat mengikut tajuk dalam column.

Kata beliau lagi, dalam kes ini, memang kita boleh buat analisis berdasarkan data-data yang ada. Tapi adalah sukar untuk kita tahu tentang maklumat bangsa seseorang pengundi tu sebab data bangsa ni tidak dibekalkan dalam CD. Jadi, dari mana pulak puak-puak ni tahu pasal maklumat bangsa ni? Macam mana proses verifikasi mereka? Mereka buat data matching guna maklumat daripada mana pulak?

PERKARA KEDUA, yang kami bincangkan. Kalaulah mereka dapat kerja sama daripada JPN untuk semak data tu, tentu data yang sama diberikan kepada SPR. Sebab selama ini SPR sentiasa mengaku bahawa mereka mempunyai talian terus dengan JPN untuk semakan status pengundi. Oleh yang demikian, amat sukar untuk percaya bahawa SPR mendaftarkan orang yang bukan warganegara sebagai pengundi. Tapi seorang pengundi yang telah dilucutkan kewarganegaraan, namanya mungkin masih berada dalam daftar pemilih. Sebagai contoh, Encik W, telah mendapat kerakyatan Australia yang menyebabkan kelayakan beliau untuk menjadi pengundi di negara ini terlucut. Tapi namanya akan terus kekal sehinggalah SPR mendapat pengesahan daripada JPN. Perkara yang sama berlaku kepada rekod pengundi yang telah meninggal dunia, gila, masuk penjara, dikenakan hukuman mahkamah dan lain-lain sebab yang menyebabkan pengundi hilang kelayakan mengundi. Dalam hal ini, SPR adalah pengguna, kalau agensi lain menyalurkan maklumat yang kemaskini kepada SPR, barulah rekod daftar pemilih boleh dikemaskinikan. Tapi, SPR juga perlulah pro active!!. Janganlah tunggu agensi saja yang bagi. Korangpun perlulah pergi selalu jenguk agensi dan ambil rekod-rekod yang dah dikemaskinikan...

PERKARA KETIGA, mengikut maklumat yang dinyatakan ada 42 orang pengundi yang terlibat. Kita juga sedia maklum bahawa proses undi awal bukan sahaja melibatkan anggota polis dan tentera sahaja, tetapi pasangan mereka. Jadi kesemua mereka adalah WAJIB memenuhi syarat menjadi seorang WARGANEGARA sebelum didaftarkan. Dari segi bangsa, rasanya non issue kalau pengundi itu seorang bangsa Indonesia ke, atau Pakistan ke, atau Filipino ke atau Pan-Asian ke, asalkan dia adalah seorang warganegara dan berumur 21 tahun ke atas, layaklah dia didaftarkan sebagai pengundi. Sebagai contoh, kalau dalam senarai 42 orang itu, ada tentera yang mak bapak dia dulu orang Indonesia. Dia lahir di sini dan mendapat kerakyatan Malaysia. Tapi dalam rekodnya masih lagi tertulis bangsa Indonesia. Dia seorang warganegara Malaysia yang berbangsa Indonesia? Layak atau tidak dia mengundi? Yang penting, dia warganegara. Takkan dia tak layak mengundi?  Atau ada isteri tentera yang berbangsa Jepun. Memang betullah dia berbangsa Jepun, tapi dia seorang warganegara dan berumur 21 tahun ke atas. Hak dialah tu....

PERKARA KEEMPAT, memang sudah biasa kita tengok gelagat sesetengah pihak yang suka sangat nak dedahkan sesuatu yang kononnya 'bukti panas' tetapi tidak tampil memberikan barang bukti tersebut kepada sumber terlebih dahulu sebelum didedahkan kepada umum. Bagaikan sengaja mahu membangkitkan keresahan masyarakat terhadap isu yang ditimbulkan. Saya masih ingat perbincangan saya dengan pegawai SPR yang menyatakan banyak dakwaan terhadap daftar pemilih yang didedahkan oleh sesetengah pihak di media massa, tidak disampaikan kepada SPR untuk disemak semula. Kalau nak dedah-dedahlah, tapi bagilah maklumat tersebut kepada SPR untuk diselidiki dan dimaklumkan semula hasilnya kepada masyarakat. Kalau hasilnya menunjukkan bahawa dakwaan yang mendakwa adalah benar, SPR perlu betulkan kesilapan tersebut seberapa segera dan nyatakan bahawa perkara itu telahpun diperbetulkan. Kalau hasilnya dakwaan yang menuduh tidak benar, pihak yang menuduh perlulah menerimanya dengan hati yang terbuka. Barulah kedua-duanya nampak telus, ikhlas dan tulus.

PERKARA KELIMA, aku nak mintak supaya SPR pertimbangkan agar membuat undang-undang seperti Artikel 88 FAM dalam tempoh pilihan raya. Dengar duluuu....jangan cepat marah. Aku lihat ni sebagai langkah untuk benar-benar mewujudkan situasi demokrasi yang sihat. Bagi aku, sepatutnya dalam tempoh kempen pilihan raya, calon atau parti yang bertanding hanya perlu memberi fokus untuk berkempen meyakinkankan rakyat bahawa mereka lebih baik dan layak untuk memimpin. Bukannya memberi tumpuan untuk sentiasa mencari kesalahan SPR bagi membangkitkan keresahan rakyat. Bagi aku, kalaulah SPR sememangnya tidak adil dan curang dalam memikul amanah, masih ada ruang untuk mengemukakan petisyen selepas keputusan diumumkan. Dan setakat ini, kalau ikut semakan aku, keputusan petisyen pilihan raya tidak semuanya berpihak kepada SPR, bahkan banyak juga kes-kes  petisyen pilihan raya dimenangi oleh pempetisyen. Kepada golongan ini, tolonglah jangan wujudkan suasana tegang yang meresahkan dalam tempoh ini, biarkan pengundi mempertimbangkan pencalonan anda dengan sikap yang rasional dan tenang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan