Khamis, 30 Mei 2013

DEMOCRACY IS DEAD... R.I.P PRU13

PASCA PILIHAN RAYA

Sudah lama rasanya tidak menulis di blog ini. Mungkin sebab pilihan raya telah tamat dan sepatutnya semua rakyat telah kembali kepada rutin asal mereka. Kita telah selesai menjalankan tanggungjawab menyuarakan pilihan dan seterusnya menyerahkan tanggungjawab mentadbir di peringkat persekutuan dan negeri kepada wakil yang kita sukai. Namun bagi segelintir pihak, momentum 'populariti' perlu diteruskan. Sandangan mereka adalah menindas mangsa yang lemah. Mangsa itu adalah 'institusi'.

PILIHAN RAYA YANG MENGELIRUKAN

Dalam PRU Ke-13 yang telah lalu, kita perlu akui bahawa terdapat banyak ketirisan dalam proses pilihan raya. Berlaku akibat kelemahan pelaksana melaksanakannya dengan kemas dan teratur atau akibat daripada campur tangan daripada segelintir pihak yang sama ada seperti sengaja menimbulkan keraguan terhadap ketelusan proses pilihan raya atau akibat kejahilan sendiri menjaja kekeliruan itu kepada sahabat-sahabat yang lain mahupun yang mengambil tindakan sendiri tanpa mengambil kira kedaulatan undang-undang.

Baru-baru ini telah berlangsung perhimpunan demi perhimpunan yang diadakan semata-mata bertujuan mahu menzahirkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak terhadap keputusan rakyat dalam pilihan raya. Keputusan itu dikatakan amat diragui kerana terdapat elemen-elemen penipuan. Walaupun dalam setiap perhimpunan tidak banyak kes yang dinyatakan secara spesifik tentang penipuan tersebut (tarikh, masa dan tempat sebenar kejadian), namun strategi utamanya adalah bagi mengheret seramai mungkin rakyat untuk sama-sama merasakan bahawa penipuan telah berlaku. Untung-untung, bertambah sokongan rakyat terhadap usaha mereka. Elemen-elemen penipuan itu antara lainnya dikatakan sebagai berkisar kepada beberapa perkara seperti:

1) isu warga asing mengundi tanpa hak;
2) isu dakwat kekal yang dikatakan tidak kekal;
3) isu 'kebersihan' daftar pemilih; dan
4) isu blackout.

BENARKAH BERLAKU?
1) ISU WARGA ASING MENGUNDI

Saya telah cuba melihat pelbagai bukti yang dikemukakan dalam media sosial tentang perkara ini. Rata-rata visual gambar dan video yang diambil tidak dapat membuktikan dengan jelas bahawa mereka yang dituduh adalah warga asing yang mengundi secara tidak hak. Akhirnya, rata-rata bahan bukti menjurus kepada beberapa kesimpulan seperti yang berikut:

a) OKT atau Orang Kena Tuduh merupakan warga asing yang tiada kaitan dengan proses pengundian.  mereka didatangkan atau sedang dalam perjalanan dari atau ke tempat kerja. Mereka juga tiada kad pengenalan untuk membolehkan mereka mengundi. Setakat ini, tiada satu kespun yang benar-benar membuktikan bahawa warga asing yang diberikan kad pengenalan segera secara sementara diarah mengundi dan kemudiannya diberikan habuan yang lumayan. Secara lojik, sekiranya dilakukan juga, penjenayah yang merancang tetap berada dalam risiko tinggi kerana tidak dapat memastikan bahawa si warga asing akan mengundi untuk calonnya ketika berada dalam saluran pengundian. Ini satu pelaburan yang sangat berisiko. Walhal, semenjak sebelum pilihan raya lagi terdapat kempen ancaman dan ugutan terhadap golongan ini daripada muncul ke pusat-pusat pengundian. Amat aneh, sekiranya penjenayah akan meneruskan tindakannya setelah mengetahui bahawa rancangan mereka akan digagalkan.

b) OKT bukan warga asing tetapi merupakan warga tempatan. Perbuatan menghalang seseorang yang layak untuk mengundi merupakan suatu kesalahan. Kerana sikap prejudis, kita mungkin boleh tersilap dalam menghalang seseorang warganegara yang layak daripada menjalankan tanggungjawabnya mengundi. Antara kes yang dilaporkan oleh media adalah seperti berikut:


Chua Lai Fatt mempunyai Mykad dan merupakan pengundi yang berdaftar
Chua, berketurunan India namun diambil menjadi anak angkat sebuah keluarga Cina di Klang serta memberikan nama kepadanya.
Dalam hal ini, kita sebagai rakyat Malaysia sepatutnya menyedari dan insaf tentang kepelbagaian etnik dan kemajmukan masyarakat yang hidup secara rukun damai sejak selepas kemerdekaan. Perasaan hormat perlu wujud dalam diri kita. Sebelum ini, terdapat juga artikel-artikel di media sosial yang mempersoal dan memperlekehkan nama yang diberikan kepada pengundi. Sebagai rakyat yang berpegang kuat dengan adat ketimuran, kita tidak sepatutnya memperlekehkan dan mengejek-ejek nama yang diberikan kepada rakan-rakan kita. Dalam hal ini, dapatlah disimpulkan bahawa semua kes yang berlaku adalah akibat salah faham dan sifat prejudis kita sahaja. 

2) ISU DAKWAT KEKAL
Isu ini adalah antara isu utama yang menjadi perbualan kepada 'masyakat gosip' dan 'masyarakat kedai kopi' ketika ini. Dakwat yang dikatakan sepatutnya kekal dijari dikatakan tidak kekal.
Kehairanan timbul akibat sikap rakyat yang bersungguh-sungguh ingin membuang dakwat yang telah dicalitkan ke jari mereka. Adakah mereka sebenarnya ingin cuba mengundi semula? Atau out of curiousity mahu membuktikan bahawa dakwat tersebut sememangnya boleh ditanggalkan. Kehairanan juga timbul kerana di luar negara, masyarakat yang menggunakan dakwat kekal ini merasa bangga dengan kesan dakwat yang ditinggalkan di jari mereka sebagai tanda mereka telah melaksnakan tanggungjawab. Sesiapa yang tiada tanda dakwat dianggap gagal menunaikan tugas sebagai warganegara yang baik. Lain pula yang terjadi di negara kita. 
Tapi daripada pemerhatian saya melalui bahan bukti yang dipaparkan di laman-laman sosial, tiada satupun yang menunjukkan bahawa dakwat tersebut hilang sebersih-bersihnya. Kesan pada lingkaran kuku jari masih ada dan amat sukar untuk dihilangkan.
Apapun, kita tinggalkan dulu isu dakwat kekal ini kerana SPR telah menubuhkan Pasukan Penyisatnya. Kita tunggu hasil laporan pasukan tersebut. Apapun, isu dakwat kekal mungkin akan dikupas dalam entri yang akan datang.

3) ISU KEBERSIHAN DAFTAR PEMILIH
Isu yang dibangkitkan merupakan isu lama yang diolah dan direwind semula. Kes ramai pengundi yang berada dalam satu alamat, kes pengundi yang tidak dikenali, kes nombor kad pengenalan sama, kes nama sama dan beberapa kes lain. Rasa-rasanya banyak kes-kes sebegini telah diterangkan oleh SPR. Mungkin SPR perlu memperkasakan bidang komunikasinya dengan orang ramai bagi memastikan kes-kes sebegini sedia dimaklumi oleh semua orang dan tidak mungkin boleh dimanipulasikan lagi. 
Isu-isu daftar pemilih dan bagaimana ia dimanipulasikan mungkin akan dijadikan tajuk entri akan datang. Cuma ada beberapa kes yang masih menjadi tanda tanya kerana masih belum dijawab oleh SPR. Mungkin setelah jawapan diterima, ia akan dikongsikan bersama.

4) ISU BLACK OUT

gambar blackout pru 13 lampu padam isu black out pru 13 foto insiden lampu padam adalah fitnah

Isu ini masih menjadi tanda tanya. Benarkah berlaku? Mengapa berlaku di sesetengah tempat dan tidak di semua tempat yang berdekatan? Tempat yang pada mulanya dikatakan berlaku blackout adalah di Bentong, Pahang. Selepas itu, ada pihak yang telah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada kejadian seumpamanya berlaku di situ. Itupun setelah TNB mengesahkan tiada kejadian black out berlaku di seluruh negara pada hari pengundian. 
Apabila isu tersebut makin reda, ada pula pihak yang membuat kenyataan bahawa isu tersebut sememangnya berlaku di kawasan beliau. Setakat ini yang diketahui tempat-tempat yang berlaku blackout adalah di Seri Serdang dan Kulim. Apapun, terdapat juga dokumen yang diedarkan di laman sosial yang menyenaraikan tempat-tempat yang berlaku black out ini. Oleh kerana terdapat laporan polis terhadap perkara ini, kita tunggu pula hasil siasatan polis. Semoga polis boleh mengenal pasti kesemua individu dalam gambar dan mendapatkan kenyataan mereka dengan cepat.
Cuma terfikir pula dibenak, adakah ini perbuatan sabotaj? Satu lagi, adakah kerana kejadian ini, maka ketelusan proses pengundian telah diperkosa dengan teruknya. Cuba lihat gambar di atas. Jelas menunjukkan bahawa proses pengiraan undi berlangsung dengan lancar dengan kehadiran ejen-ejen calon dan dilimpahi cahaya lampu keselamatan yang mungkin dibekalkan oleh SPR sendiri. 

KESIMPULAN
PRU 13 telah berlangsung dengan baik walaupun terdapat beberapa kelemahan dalam proses yang dilaksanakan. Kita perlu bersetuju dengan laporan Pasukan Pemerhati PRU Ke13 yang menyatakan PRU13 telah dilaksanakan dengan baik cuma sedikit tidak adil. Prinsip keadilan juga sangat subjektif. Apapun dengan media yang secara monopoli berkempen untuk satu pihak, salah satu elemen keadilan sememangnya masih perlu dilihat kembali.
Apapun, ruang keadilan masih luas di negara kita. Dalam PRU Ke13 selain pasukan pemerhati yang dilantik SPR, pasukan PEMANTAU yang ditubuhkan oleh NGO juga telah menyumbang kepada pembuktian bahawa pilihan raya telah dilaksanakan dengan baik. Kemungkinan, mereka ini boleh tampil menyatakan dengan ikhlas perkara sebenar yang berlaku tanpa mempunyai motif politik atau agenda tersendiri. Kita juga sedang teruja untuk melihat kesemua perkara-perkara yang dibangkitkan di atas dikemukakan secara petisyen ke Mahkamah. Semoga kebenaran terserlah. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan