Jumaat, 26 April 2013

DEMAM PILIHAN RAYA 2.0: SPR vs NGO



Masih demam. Kali ini bukan disebabkan oleh penyokong-penyokong parti, tapi disebabkan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO). Pada mulanya, cara mereka menyampaikan idea tentang reformasi pilihan raya nampak neautral dan non partisan. Namun, semakin hari tindak tanduk mereka semakin menjurus kepada tindakan berpihak. Yang demam tentulah SPR.

Dulu, aku memang pantang kalau dok sebut SPR ni. Analogi aku terhadap peranan SPR ni tidak lebih macam pengadil rancangan gusti WWE kat TV. Watak sampingan yang tugasnya menyedapkan cerita. Masa penggusti jahat kena belasah dengan senjata terlarang, masa tulah dia nak pengsanlah, nak bertekak dengan penggusti yang kat luar gelangganglah, macam-macam lagilah perangai, demi menghalalkan tindakan penggusti jahat membelasah penggusti pujaan ramai. Dia buat-buat tak nampak je 'ketidakadilan' yang berlaku. Bila dah selesai, elok pulak dia berpaling kat tempat kejadian. Masa tu, penggusti pujaan dah lembik tak berdaya dan penggusti jahat elok je buat muka baik dan tak bersalah.

Aku juga sangsi dengan usaha orang-orang kat SPR dalam menyelesaikan masalah yang datang. Tapi bila aku mula baca, borak dengan kawan-kawan yang pernah jadi petugas SPR dalam pilihan raya dan pernah gak datang melawat SPR untuk dengar taklimat mereka, barulah aku rasa yang SPR ni, ok gaklah... mereka dah buat sehabis baik cuma masih banyak cabaran yang mereka perlu tempuh. Hehehehehe... cuma nak bagitau, aku berubah pandanganpun bukan mudah. Letih gak pegawai SPR nak melayan soalan-soalan yang aku kemukakan. Bukan setakat kat situ, lepas tupun aku hantar soalan-soalan yang berlegar kat kepala otak aku kepada pegawai tu. Cuma, akhirnya, aku rasa pegawai tu berjaya jawab dengan ikhlas semua soalan aku dan aku puas hati dengan jawapan tersebut. 

Camana aku tak puas hati, aku dah baca semua yang patut sebelum post soalan kat dengan pegawai tu. Semua jawapan dia 'make sense' jugaklah... taklah perfect sangat, tapi oklah dan 'acceptable'... aku datang dengan anggapan 'dunia  ni sepatutnya sempurna... pilihan raya kena la sempurna', tapi rupa-rupanya semua perkara pokok bagi menjamin prinsip 'ketelusan' dan 'kerahsiaan undi' telahpun dilaksanakan oleh SPR. Mungkin perlukan sedikit penambahbaikan bukan perkara pokok yang perlu diubah, tapi lebih kepada usaha 'menambah keyakinan' dan 'keselesaan' kepada pengundi...itu saja.

Cuma nasihat aku kepada SPR, korang cubalah usahakan supaya semua rakyat Malaysia ni tahu dan faham dengan setiap proses dan aktiviti pilihan raya. Oleh sebab korang diam dan takde usaha nak memaklumkan tentang prinsip 'ketelusan' dan 'kerahsiaan undi' kepada rakyat, itu yang rakyat semakin sangsi dan konpius... apa lagi kalau ada pihak-pihak lain yang sibuk menyucuk jarum untuk menambah 'keraguan' terhadap proses yang dilaksanakan oleh SPR. Janganlah bila mintak baru nak bagi... pro aktiflah sikit!! 

Tapi.... lately, aku rasa makin tak puas hati, dahlah SPR tak laksanakan tanggungjawab mendidik pengundi, ada pulak NGO yang nak jadi SPR!! Kononnya lebih bagus daripada SPR. Cukuplah, ini bukan gelanggang pertandingan tarian SUPERSTAR, yang nak bertanding skil siapa lagi bagus... SPR sebuah institusi, kalau nak bagi cadangan hantar je ke SPR atau datang sendiri dan tunjukkan kat mereka. tak perlu kelirukan lagi pemikiran rakyat yang dah memang tengah keliru dengan peperangan maklumat oleh parti-parti bertanding. Macam mana SPR tak demam??!!

ps: Tahniah SPR sebab wujudkan portal khas untuk rujukan para pengundi. Portal www.pru13.gov.my sangat berguna dan sangat berinformatif. Cuma kalau boleh tambahlah tahap kreatif korang. Banyak sangat tulisanlah...banyakkanlah 'visual' dan gunakanlah teknologi multimedia. Bangunlah!! ni dah zaman milenium, zaman digital, zaman siberlaahh...

Khamis, 25 April 2013

DEMAM PILIHAN RAYA 1.0 PARTI vs PARTI




Musim-musim pilihan raya ni semua orang mula demam. Sudahlah cuaca sekarang musim panas, hujan lebat yang turun membasahi bumi pun tak dapat memadamkan bahang kepanasan pilihan raya kali ni. Ramai juga yang melabelkan PRU kali ini sebagai "Ibu Segala Pilihan Raya". Apa tidaknya, semua calon yang masuk bertanding akan berusaha bersungguh-sungguh untuk dapatkan laba dunia, kerusi kekuasaan. Dalam usaha mereka, ramai juga yang dah melupakan keimanan dan mula melebarkan dakwah politik kebencian.

Pada pengamatan saya, satu pihak cuba menjatuhkan lawannya dengan mengatakan bahawa pihak yang satu lagi zalim, tidak adil, sentiasa menindas, pro porno dan seribu satu sifat negatif semata-mata mahu menjatuhkan kredibiliti pihak lawan. 

Satu lagi pihak juga mengambil pendekatan yang sama dengan menyerang peribadi pemimpin-pemimpin parti lawan bagi maksud dan objektif yang sama. Bukan setakat pemimpin sahaja yang diserang, ahli keluarga pemimpin turut diserang. 

Yang pastinya mereka tidak 100% melaksanakan apa yang mereka perlu laksanakan iaitu mempromosikan ideologi mereka dan pelan tindakan mereka untuk mentadbir negara sekiranya mendapat mandat daripada rakyat. Tetapi sibuk menginjak imej pemimpin dan parti lawan supaya dibenci oleh masyarakat pengundi. Akhirnya, masyarakat yang keliru. Bukan setakat pengundi atas pagar, pegangan dan kepercayaan ahli-ahli parti juga sebenarnya sudah mula goyang dek sentiasa termakan dengan dakyah-dakyah yang dilemparkan secara bertubi-tubi oleh rakan-rakan mereka dalam parti.

Apa tidaknya, isu yang dilemparkan untuk menjadi perangkap beracun kepada pihak lawan digarap semula oleh pihak lawan untuk dilemparkan kembali sebagai racun untuk anggota parti mereka. Memang benarlah pepatah melayu "pulang paku buah keras". Cuma dalam hal ini, kedua-dua pihak memulangkan paku masing-masing dan akhirnya memakan diri masing-masing. Yang herannya, paku yang diberi dan dipulangkan paku yang sama. Yang satu kata, yang sebelah sana korup dengan turut kemukakan bukti. Yang sini kata, pemimpin lawannya juga korup dengan turut dikemukakan bukti. Yang satu kata, yang sebelah sana kurang bermoral dengan turut kemukakan bukti. Yang sini kata, pemimpin lawannya juga kurang bermoral dengan turut dikemukakan bukti. Jadi?? mana satu yang betul?? ke semua mereka ni sama je?? Kedua-duanya hanyalah pelakon-pelakon handalan yang melakonkan watak baik, dalam masa yang sama membunuh watak lawan dengan susunan 'ayat-ayat power' demi mengaburi mata penyokong dan mendapat undi rakyat. 

Bila satu pihak buka mulut, kita sebagai rakyat rasa seperti apa yang dikatakan itu ada kebenarannya. Tapi apabila satu lagi pihak pula mengemukakan bukti dalam isu sama, kita juga turut merasakan bahawa memang ada kebenaran dalam hujah tersebut. Mahu cari info yang sebenar, di mana pula hendak dicari kerana semua bukti yang dikemukakan seperti didapatkan melalui sumber-sumber yang sulit. 

Panas! Panas! Panas! Sudahlah cuaca panas, isu-isu yang dilemparkan juga panas. Otak semakin ribut. Perasaan semakin bergelora. Oh! Poning palo den!! Mano tak domam dibueknyo??!!!


FREEDOM OF SPEECH

"I disapprove of what you say, but I will defend to the death your right to say it."
But Again...