Khamis, 30 Mei 2013

DEMOCRACY IS DEAD... R.I.P PRU13

PASCA PILIHAN RAYA

Sudah lama rasanya tidak menulis di blog ini. Mungkin sebab pilihan raya telah tamat dan sepatutnya semua rakyat telah kembali kepada rutin asal mereka. Kita telah selesai menjalankan tanggungjawab menyuarakan pilihan dan seterusnya menyerahkan tanggungjawab mentadbir di peringkat persekutuan dan negeri kepada wakil yang kita sukai. Namun bagi segelintir pihak, momentum 'populariti' perlu diteruskan. Sandangan mereka adalah menindas mangsa yang lemah. Mangsa itu adalah 'institusi'.

PILIHAN RAYA YANG MENGELIRUKAN

Dalam PRU Ke-13 yang telah lalu, kita perlu akui bahawa terdapat banyak ketirisan dalam proses pilihan raya. Berlaku akibat kelemahan pelaksana melaksanakannya dengan kemas dan teratur atau akibat daripada campur tangan daripada segelintir pihak yang sama ada seperti sengaja menimbulkan keraguan terhadap ketelusan proses pilihan raya atau akibat kejahilan sendiri menjaja kekeliruan itu kepada sahabat-sahabat yang lain mahupun yang mengambil tindakan sendiri tanpa mengambil kira kedaulatan undang-undang.

Baru-baru ini telah berlangsung perhimpunan demi perhimpunan yang diadakan semata-mata bertujuan mahu menzahirkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak terhadap keputusan rakyat dalam pilihan raya. Keputusan itu dikatakan amat diragui kerana terdapat elemen-elemen penipuan. Walaupun dalam setiap perhimpunan tidak banyak kes yang dinyatakan secara spesifik tentang penipuan tersebut (tarikh, masa dan tempat sebenar kejadian), namun strategi utamanya adalah bagi mengheret seramai mungkin rakyat untuk sama-sama merasakan bahawa penipuan telah berlaku. Untung-untung, bertambah sokongan rakyat terhadap usaha mereka. Elemen-elemen penipuan itu antara lainnya dikatakan sebagai berkisar kepada beberapa perkara seperti:

1) isu warga asing mengundi tanpa hak;
2) isu dakwat kekal yang dikatakan tidak kekal;
3) isu 'kebersihan' daftar pemilih; dan
4) isu blackout.

BENARKAH BERLAKU?
1) ISU WARGA ASING MENGUNDI

Saya telah cuba melihat pelbagai bukti yang dikemukakan dalam media sosial tentang perkara ini. Rata-rata visual gambar dan video yang diambil tidak dapat membuktikan dengan jelas bahawa mereka yang dituduh adalah warga asing yang mengundi secara tidak hak. Akhirnya, rata-rata bahan bukti menjurus kepada beberapa kesimpulan seperti yang berikut:

a) OKT atau Orang Kena Tuduh merupakan warga asing yang tiada kaitan dengan proses pengundian.  mereka didatangkan atau sedang dalam perjalanan dari atau ke tempat kerja. Mereka juga tiada kad pengenalan untuk membolehkan mereka mengundi. Setakat ini, tiada satu kespun yang benar-benar membuktikan bahawa warga asing yang diberikan kad pengenalan segera secara sementara diarah mengundi dan kemudiannya diberikan habuan yang lumayan. Secara lojik, sekiranya dilakukan juga, penjenayah yang merancang tetap berada dalam risiko tinggi kerana tidak dapat memastikan bahawa si warga asing akan mengundi untuk calonnya ketika berada dalam saluran pengundian. Ini satu pelaburan yang sangat berisiko. Walhal, semenjak sebelum pilihan raya lagi terdapat kempen ancaman dan ugutan terhadap golongan ini daripada muncul ke pusat-pusat pengundian. Amat aneh, sekiranya penjenayah akan meneruskan tindakannya setelah mengetahui bahawa rancangan mereka akan digagalkan.

b) OKT bukan warga asing tetapi merupakan warga tempatan. Perbuatan menghalang seseorang yang layak untuk mengundi merupakan suatu kesalahan. Kerana sikap prejudis, kita mungkin boleh tersilap dalam menghalang seseorang warganegara yang layak daripada menjalankan tanggungjawabnya mengundi. Antara kes yang dilaporkan oleh media adalah seperti berikut:


Chua Lai Fatt mempunyai Mykad dan merupakan pengundi yang berdaftar
Chua, berketurunan India namun diambil menjadi anak angkat sebuah keluarga Cina di Klang serta memberikan nama kepadanya.
Dalam hal ini, kita sebagai rakyat Malaysia sepatutnya menyedari dan insaf tentang kepelbagaian etnik dan kemajmukan masyarakat yang hidup secara rukun damai sejak selepas kemerdekaan. Perasaan hormat perlu wujud dalam diri kita. Sebelum ini, terdapat juga artikel-artikel di media sosial yang mempersoal dan memperlekehkan nama yang diberikan kepada pengundi. Sebagai rakyat yang berpegang kuat dengan adat ketimuran, kita tidak sepatutnya memperlekehkan dan mengejek-ejek nama yang diberikan kepada rakan-rakan kita. Dalam hal ini, dapatlah disimpulkan bahawa semua kes yang berlaku adalah akibat salah faham dan sifat prejudis kita sahaja. 

2) ISU DAKWAT KEKAL
Isu ini adalah antara isu utama yang menjadi perbualan kepada 'masyakat gosip' dan 'masyarakat kedai kopi' ketika ini. Dakwat yang dikatakan sepatutnya kekal dijari dikatakan tidak kekal.
Kehairanan timbul akibat sikap rakyat yang bersungguh-sungguh ingin membuang dakwat yang telah dicalitkan ke jari mereka. Adakah mereka sebenarnya ingin cuba mengundi semula? Atau out of curiousity mahu membuktikan bahawa dakwat tersebut sememangnya boleh ditanggalkan. Kehairanan juga timbul kerana di luar negara, masyarakat yang menggunakan dakwat kekal ini merasa bangga dengan kesan dakwat yang ditinggalkan di jari mereka sebagai tanda mereka telah melaksnakan tanggungjawab. Sesiapa yang tiada tanda dakwat dianggap gagal menunaikan tugas sebagai warganegara yang baik. Lain pula yang terjadi di negara kita. 
Tapi daripada pemerhatian saya melalui bahan bukti yang dipaparkan di laman-laman sosial, tiada satupun yang menunjukkan bahawa dakwat tersebut hilang sebersih-bersihnya. Kesan pada lingkaran kuku jari masih ada dan amat sukar untuk dihilangkan.
Apapun, kita tinggalkan dulu isu dakwat kekal ini kerana SPR telah menubuhkan Pasukan Penyisatnya. Kita tunggu hasil laporan pasukan tersebut. Apapun, isu dakwat kekal mungkin akan dikupas dalam entri yang akan datang.

3) ISU KEBERSIHAN DAFTAR PEMILIH
Isu yang dibangkitkan merupakan isu lama yang diolah dan direwind semula. Kes ramai pengundi yang berada dalam satu alamat, kes pengundi yang tidak dikenali, kes nombor kad pengenalan sama, kes nama sama dan beberapa kes lain. Rasa-rasanya banyak kes-kes sebegini telah diterangkan oleh SPR. Mungkin SPR perlu memperkasakan bidang komunikasinya dengan orang ramai bagi memastikan kes-kes sebegini sedia dimaklumi oleh semua orang dan tidak mungkin boleh dimanipulasikan lagi. 
Isu-isu daftar pemilih dan bagaimana ia dimanipulasikan mungkin akan dijadikan tajuk entri akan datang. Cuma ada beberapa kes yang masih menjadi tanda tanya kerana masih belum dijawab oleh SPR. Mungkin setelah jawapan diterima, ia akan dikongsikan bersama.

4) ISU BLACK OUT

gambar blackout pru 13 lampu padam isu black out pru 13 foto insiden lampu padam adalah fitnah

Isu ini masih menjadi tanda tanya. Benarkah berlaku? Mengapa berlaku di sesetengah tempat dan tidak di semua tempat yang berdekatan? Tempat yang pada mulanya dikatakan berlaku blackout adalah di Bentong, Pahang. Selepas itu, ada pihak yang telah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada kejadian seumpamanya berlaku di situ. Itupun setelah TNB mengesahkan tiada kejadian black out berlaku di seluruh negara pada hari pengundian. 
Apabila isu tersebut makin reda, ada pula pihak yang membuat kenyataan bahawa isu tersebut sememangnya berlaku di kawasan beliau. Setakat ini yang diketahui tempat-tempat yang berlaku blackout adalah di Seri Serdang dan Kulim. Apapun, terdapat juga dokumen yang diedarkan di laman sosial yang menyenaraikan tempat-tempat yang berlaku black out ini. Oleh kerana terdapat laporan polis terhadap perkara ini, kita tunggu pula hasil siasatan polis. Semoga polis boleh mengenal pasti kesemua individu dalam gambar dan mendapatkan kenyataan mereka dengan cepat.
Cuma terfikir pula dibenak, adakah ini perbuatan sabotaj? Satu lagi, adakah kerana kejadian ini, maka ketelusan proses pengundian telah diperkosa dengan teruknya. Cuba lihat gambar di atas. Jelas menunjukkan bahawa proses pengiraan undi berlangsung dengan lancar dengan kehadiran ejen-ejen calon dan dilimpahi cahaya lampu keselamatan yang mungkin dibekalkan oleh SPR sendiri. 

KESIMPULAN
PRU 13 telah berlangsung dengan baik walaupun terdapat beberapa kelemahan dalam proses yang dilaksanakan. Kita perlu bersetuju dengan laporan Pasukan Pemerhati PRU Ke13 yang menyatakan PRU13 telah dilaksanakan dengan baik cuma sedikit tidak adil. Prinsip keadilan juga sangat subjektif. Apapun dengan media yang secara monopoli berkempen untuk satu pihak, salah satu elemen keadilan sememangnya masih perlu dilihat kembali.
Apapun, ruang keadilan masih luas di negara kita. Dalam PRU Ke13 selain pasukan pemerhati yang dilantik SPR, pasukan PEMANTAU yang ditubuhkan oleh NGO juga telah menyumbang kepada pembuktian bahawa pilihan raya telah dilaksanakan dengan baik. Kemungkinan, mereka ini boleh tampil menyatakan dengan ikhlas perkara sebenar yang berlaku tanpa mempunyai motif politik atau agenda tersendiri. Kita juga sedang teruja untuk melihat kesemua perkara-perkara yang dibangkitkan di atas dikemukakan secara petisyen ke Mahkamah. Semoga kebenaran terserlah. 

Selasa, 30 April 2013

TENTERA BANGLA PERGI MENGUNDI

    Gambar hiasan sahaja...

Dua hari lepas, ada aku komen pasal kes 42 orang tentera pelbagai bangsa (seolah-olah bukan warganegara) yang diperkatakan oleh seorang pemimpin parti politik sebagai telah didaftarkan sebagai pengundi. Semalam aku jumpa dengan seorang rakan yang dulu pernah sama-sama dalam perjuangan. Dia ni pakar IT dan dia jugalah yang selalu buat analisis CD daftar pemilih. Lama juga kami bincang pasal isu daftar pemilih yang melibatkan so called 'warga asing' dalam data structure CD daftar pemilih. CD daftar pemilih mempunyai data yang sama macam yang dalam buku iaitu nombor siri, nombor kad pengenalan lama, nombor kad pengenalan baru, nama pengundi, bahagian pilihan raya, lokaliti dan nombor rumah.

Aku bukan faham sangat bahasa IT, tapi aku rasa secara keseluruhan dia cakap macam ni:

  1. Data dalam CD diberi dalam bentuk table
  2. Data dibahagikan mengikut cloumn. Dalam setiap column ada tajuk data nama, nombor kad pengenalan, lokaliti dan lain-lain.
  3. Dalam setiap row ada butiran maklumat mengikut tajuk dalam column.

Kata beliau lagi, dalam kes ini, memang kita boleh buat analisis berdasarkan data-data yang ada. Tapi adalah sukar untuk kita tahu tentang maklumat bangsa seseorang pengundi tu sebab data bangsa ni tidak dibekalkan dalam CD. Jadi, dari mana pulak puak-puak ni tahu pasal maklumat bangsa ni? Macam mana proses verifikasi mereka? Mereka buat data matching guna maklumat daripada mana pulak?

PERKARA KEDUA, yang kami bincangkan. Kalaulah mereka dapat kerja sama daripada JPN untuk semak data tu, tentu data yang sama diberikan kepada SPR. Sebab selama ini SPR sentiasa mengaku bahawa mereka mempunyai talian terus dengan JPN untuk semakan status pengundi. Oleh yang demikian, amat sukar untuk percaya bahawa SPR mendaftarkan orang yang bukan warganegara sebagai pengundi. Tapi seorang pengundi yang telah dilucutkan kewarganegaraan, namanya mungkin masih berada dalam daftar pemilih. Sebagai contoh, Encik W, telah mendapat kerakyatan Australia yang menyebabkan kelayakan beliau untuk menjadi pengundi di negara ini terlucut. Tapi namanya akan terus kekal sehinggalah SPR mendapat pengesahan daripada JPN. Perkara yang sama berlaku kepada rekod pengundi yang telah meninggal dunia, gila, masuk penjara, dikenakan hukuman mahkamah dan lain-lain sebab yang menyebabkan pengundi hilang kelayakan mengundi. Dalam hal ini, SPR adalah pengguna, kalau agensi lain menyalurkan maklumat yang kemaskini kepada SPR, barulah rekod daftar pemilih boleh dikemaskinikan. Tapi, SPR juga perlulah pro active!!. Janganlah tunggu agensi saja yang bagi. Korangpun perlulah pergi selalu jenguk agensi dan ambil rekod-rekod yang dah dikemaskinikan...

PERKARA KETIGA, mengikut maklumat yang dinyatakan ada 42 orang pengundi yang terlibat. Kita juga sedia maklum bahawa proses undi awal bukan sahaja melibatkan anggota polis dan tentera sahaja, tetapi pasangan mereka. Jadi kesemua mereka adalah WAJIB memenuhi syarat menjadi seorang WARGANEGARA sebelum didaftarkan. Dari segi bangsa, rasanya non issue kalau pengundi itu seorang bangsa Indonesia ke, atau Pakistan ke, atau Filipino ke atau Pan-Asian ke, asalkan dia adalah seorang warganegara dan berumur 21 tahun ke atas, layaklah dia didaftarkan sebagai pengundi. Sebagai contoh, kalau dalam senarai 42 orang itu, ada tentera yang mak bapak dia dulu orang Indonesia. Dia lahir di sini dan mendapat kerakyatan Malaysia. Tapi dalam rekodnya masih lagi tertulis bangsa Indonesia. Dia seorang warganegara Malaysia yang berbangsa Indonesia? Layak atau tidak dia mengundi? Yang penting, dia warganegara. Takkan dia tak layak mengundi?  Atau ada isteri tentera yang berbangsa Jepun. Memang betullah dia berbangsa Jepun, tapi dia seorang warganegara dan berumur 21 tahun ke atas. Hak dialah tu....

PERKARA KEEMPAT, memang sudah biasa kita tengok gelagat sesetengah pihak yang suka sangat nak dedahkan sesuatu yang kononnya 'bukti panas' tetapi tidak tampil memberikan barang bukti tersebut kepada sumber terlebih dahulu sebelum didedahkan kepada umum. Bagaikan sengaja mahu membangkitkan keresahan masyarakat terhadap isu yang ditimbulkan. Saya masih ingat perbincangan saya dengan pegawai SPR yang menyatakan banyak dakwaan terhadap daftar pemilih yang didedahkan oleh sesetengah pihak di media massa, tidak disampaikan kepada SPR untuk disemak semula. Kalau nak dedah-dedahlah, tapi bagilah maklumat tersebut kepada SPR untuk diselidiki dan dimaklumkan semula hasilnya kepada masyarakat. Kalau hasilnya menunjukkan bahawa dakwaan yang mendakwa adalah benar, SPR perlu betulkan kesilapan tersebut seberapa segera dan nyatakan bahawa perkara itu telahpun diperbetulkan. Kalau hasilnya dakwaan yang menuduh tidak benar, pihak yang menuduh perlulah menerimanya dengan hati yang terbuka. Barulah kedua-duanya nampak telus, ikhlas dan tulus.

PERKARA KELIMA, aku nak mintak supaya SPR pertimbangkan agar membuat undang-undang seperti Artikel 88 FAM dalam tempoh pilihan raya. Dengar duluuu....jangan cepat marah. Aku lihat ni sebagai langkah untuk benar-benar mewujudkan situasi demokrasi yang sihat. Bagi aku, sepatutnya dalam tempoh kempen pilihan raya, calon atau parti yang bertanding hanya perlu memberi fokus untuk berkempen meyakinkankan rakyat bahawa mereka lebih baik dan layak untuk memimpin. Bukannya memberi tumpuan untuk sentiasa mencari kesalahan SPR bagi membangkitkan keresahan rakyat. Bagi aku, kalaulah SPR sememangnya tidak adil dan curang dalam memikul amanah, masih ada ruang untuk mengemukakan petisyen selepas keputusan diumumkan. Dan setakat ini, kalau ikut semakan aku, keputusan petisyen pilihan raya tidak semuanya berpihak kepada SPR, bahkan banyak juga kes-kes  petisyen pilihan raya dimenangi oleh pempetisyen. Kepada golongan ini, tolonglah jangan wujudkan suasana tegang yang meresahkan dalam tempoh ini, biarkan pengundi mempertimbangkan pencalonan anda dengan sikap yang rasional dan tenang.

SPR KENA LAGI...


Belumpun reda isu stor dan tentera bangla, SPR dikejutkan pula dengan isu dakwat kekal. Kali ini dakwat kekal yang katanya gagal kekal dijari pengundi-pengundi awal dalam kalangan polis dan tentera.

Banyak gambar-gambar di media sosial menunjukkan dakwat tersebut boleh hilang apabila dibasuh dengan sabun. Tapi, gambar masih boleh dipersoalkan. Mungkin boleh diedit. Ada juga video yang menunjukkan dakwat tersebut tidak hilang walau dibasuh berkali-kali menggunakan bahan-bahan yang berlainan. Mana satu yang betul? Aku tak mahu komen pasal ni sekarang. Aku nak pergi siasat dulu...

Isnin, 29 April 2013

STRATEGI PERANG SARAF: LAGI USAHA MEROBOH INSTITUSI

PERANG SARAF 1

Tak cukup sekali isu peti undi Sg. Chua dibangkitkan, hari ini isu itu dibangkitkan lagi. Mungkin nilai hartanah di Sg. Chua akan naik tak lama lagi disebabkan telah mendapat publisiti percuma. Daripada dulu lagi strategi ni diguna pakai oleh parti untuk menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi. Seakan terdesak sangat, hinggakan isu yang sebegini kecilpun perlu diperbesarkan. Aku tak pasti sama ada isu ini dah dijawab oleh SPR atau belum. Tapi dalam isu yang dibangkitkan oleh seorang pemimpin parti politik hari ini, nampaknya beliau sendiri ada menyatakan bahawa gambar yang ditunjukkan merupakan sebuah stor kepunyaan SPR. Tak kisahlah bagaimana rupanya, tapi kalau SPR berani mengaku bahawa itu sememangnya stor penyimpanan barang-barang kepunyaan mereka, takkanlah kita nak menyangkalnya. Secara logikpun, mungkin itu sahaja kawasan yang sesuai untuk menempatkan barang-barang yang banyak untuk kegunaan pilihan raya. Lokasinyapun tidak jauh daripada pejabat SPR di Putrajaya. Untuk tujuan keselamatan, takkanlah SPR nak gantung papan tanda besar yang menunjukkan itu stor mereka. Sekiranya dibuat begitu, kemungkinan besar akan mendatangkan masalah kepada mereka kerana ia terdedah kepada perbuatan khianat dan sabotaj. Strategi sebegini terlalu lemah dan tidak patut digunakan. Walaupun sebenarnya ia merupakan usaha untuk menjatuhkan kredibiliti institusi, namun pendekatan 'matlamat menghalalkan cara' sebeginilah yang menyebabkan ramai rakan-rakan yang mula menjauhkan diri daripada terlibat dalam perjuangan politik. Lagipun, bagilah pukulan yang meyakinkan sikit. Kalau setakat gambar bangunan buruk dan sampah, apa sangat yang nak dibuktikan. Kalau SPR mengaku bahawa bangunan buruk tu memang stor mereka... akhir kalam. Malu sendiri... 

PERANG SARAF 2

Dalam sidang media yang sama, pemimpin ini menghebahkan tentang 42 orang pengundi polis dan tentera yang mempunyai rekod bukan warganegara. Haaa... kalau isu yang macam ni barulah betul. Ini barulah isu keadilan dan kesaksamaan dalam urusan pemilihan. SPR sepatutnya berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan daftar pemilih yang digunakan adalah benar-benar bersih dan kemaskini (setakat yang termampu). Setahu aku kalau nak jadi polis atau tentera, syarat wajib mestilah warganegara. Ini bukan syarikat security guard yang mana warga asingpun senang-senang boleh dapat pekerjaan. Ini soal keselamatan negara. Bukan itu saja, ini soal keadilan dan kesaksamaan yang mana telah termaktub dalam Perlembagaan bahawa hanya warganegara Malaysia sahaja yang layak didaftarkan sebagai pemilih. Isu ni SPR perlu jawab. Bukan setakat SPR, agensi lain yang terlibat juga perlu jawab. Sebab aku tahu SPR hanya pengguna end product, rekod asal mesti datang daripada agensi yang terlibat.

PERANG DENGAN ETIKA

Walaupun aku dah cukup marah dengan tahap kecekapan SPR melaksanakan pilihan raya, namun bagi aku pemimpin politik perlu bijak dalam kempen mereka. Menjatuhkan institusi bukanlah jalan yang baik. Institusi perlu dijaga dan diperkasakan. Keyakinan rakyat terhadap institusi sangat penting. Cuba bayangkan rakyat sudah hilang kepercayaan kepada institusi, adalah sukar untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang. Sebagai contoh, bayangkan apa akan jadi kalau rakyat sudah hilang keyakinan kepada agensi keselamatan atau badan kehakiman. Segala apa yang diarahkan atau diputuskan tidak akan diambil peduli dan masyarakat akan mengambil tindakan sendiri dengan membelakangi undang-undang. Apa akan jadi sekiranya mereka hilang kepercayaan kepada badan legislatif? Mereka tidak akan keluar membuang undi. Kalau tak keluar mengundi, siapa yang nak jadi pemimpin? Bagaimana dengan perjuangan? Kalau sikit yang keluar mengundi pula, apa indikasinya kepada negara di mata masyarakat antarabangsa? Apa pula akan jadi kalau mereka tiada keyakinan terhadap 'eksekutif'? Mungkin mereka tidak hormat langsung kepada menteri-menteri dan mungkin juga Perdana Menteri. Apa nak jadi negara kita ketika tu? Fikir-fikirkanlah....
Tapi... bab 42 orang tu... aku masih nak jawapan daripada SPR!!!

Ahad, 28 April 2013

SPR DEMAM LAGI 2.0: LAWAN SUKARELAWAN

Andainya mereka benar-benar faham, pasti mereka tidak akan turun ke jalan raya

KONGSI MAKLUMAT

Mungkin sebab minat, mungkin sebab nak berlawan hujah dengan pegawai SPR bagi mempertahankan geng-geng dalam parti atau mungkin akibat marah sebab terdapat arahan-arahan SPR yang mana pelaksanaannya 'on the ground' seolah-oleh tidak praktikal... Mungkin itu, antara sebab yang menyebabkan aku selalu buat rujukan kepada undang-undang dan buku-buku yang menerangkan proses pilihan raya. Mungkin juga, disebabkan itu, aku selalu je ajak pegawai-pegawai SPR bertekak sehinggalah ada antara mereka yang dah jadi 'kawan'. 

ENGAGEMENT

Aku percaya 'engagement' dapat membantu dalam usaha menyuburkan proses demokrasi. Aku kurang setuju dengan tindakan pertubuhan-pertubuhan sukarelawan yang suka menggunakan 'offensive approach' atau 'oppressive approach'. Ada juga yang semacam menggunakan ugutan bahawa 'ini adalah kehendak rakyat'. Walau rakyat yang dimaksudkan bukanlah seramai 'The Silent Majority'. Aku rasa eloklah mereka gunakan pendekatan yang lebih mesra. Cubalah bekerjasama dengan SPR, 'negotiate' terma-terma dengan mereka, takkanlah mereka tolak bulat-bulat. Kecualilah sudah diberi tapi terang-terang bersifat partisan. Itu tidak adil. 

HASIL 'ENGAGEMENT'

Ikut pengalaman aku, 'engagement' is the best policy. Mula-mula dulu akupun letih dengan perangai SPR ni. Susah sangat nak jumpa dan diajak berbincang. Sekali aku dapat, aku belasah tahan pegawai tu sampai maghrib. Aku soal dia bertubi-tubi macam polis soal penjenayah. Mula-mula dia jawab dengan semangat tapi bila 2nd. half (lepas solat Asar), dia dah mula lembik...yelah diapun dah nampak berumur. Selain hari itu, aku dan rakan-rakan beberapa kali juga berkomunikasi dengan pegawai-pegawai SPR, sama ada berjumpa terus ataupun berbincang melalui emel. Dalam siri perjumpaan tu barulah aku tau yang SPR ni kecil saja kekuatannya. Bagi aku, kalau mereka sudah sedia tahu kekurangan diorang, diorang perlulah rangka satu strategi untuk 'memasarkan' aktiviti-aktiviti penerangan kepada umum. Sebab tu, aku ada cadangkan agar SPR turut mempelawa pertubuhan sukarelawan untuk bantu SPR memberi penerangan kepada rakyat. Mula-mula boleh buat kursus 'training for trainers'. Anggota sukarelawan yang berjaya mengikuti kursus tersebut boleh membantu dalam mengaturkan sesi-sesi penerangan kepada masyarakat dan mereka menjadi penceramah dan fasilitatornya. Semuanya mengikut panduan daripada SPR. Win-win situation.

ANCAMAN LUAR

Cabaran SPR adalah untuk melaksanakan secepat mungkin. Ada juga pertubuhan sukarela yang sudah mula nak ambil fungsi SPR. Kalau setakat ambil tugas itu dan menerangkannya dengan baik tidak mengapa, ada pulak yang cuba mengelirukan pengundi dengan ajaran-ajaran baru yang tidak diberikan kelulusan oleh SPR. Yang ni yang tak best. Pilihan raya bukan tempat nak buat experimen. Lagi satu, kita mungkin ingat yang idea dan cara kita adalah yang terbaik, tapi kita kena hormat juga dengan idea dan cara orang lain. Barulah orang lain akan hormat kita. Kita juga perlu ada 'watikah' atau 'tauliah' untuk melaksanakan sesuatu. Kalau kita adalah pakar dalam menerbangkan kapal terbang, namun dalam situasi kita adalah penumpang dalam kapal terbang, kita masih perlu menghormati juruterbang yang telah diberikan 'watikah' dan 'tauliah' untuk memimpin penerbangan tersebut. 

TUGAS SPR

Apapun, SPR perlu segera menggalas tanggungjawab untuk memberi penerangan kepada rakyat. Kalau tidak...rakyat akan terus tak faham, rakyat akan jadi mangsa 'ribut kekeliruan' yang sengaja dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, rakyat akan terus salahkan SPR... Last sekali apa jadi? SPR demam lagi.....

Sabtu, 27 April 2013

SPR DEMAM LAGI 1.0: ANTARA UNDI AWAL, UNDI POS & STYROFOAM



Teringat zaman kanak-kanak dulu, kalau kita main permainan secara regu atau berpasukan macam ping-pong, badminton, bola tampar atau sepak takraw tentu strategi kita cari pemain lawan yang paling lemah, pastu kita 'attack' kat dia je. Kita biasa panggil pemain lawan yang camni 'lubuk' atau 'sayur'. Dalam pilihan raya ni, aku tengok strategi warga alam siber ada yang cuba nak jadikan SPR sebagai 'lubuk' atau 'sayur' akibat salah anggapan bahawa SPR adalah parti (atau kalau bukan... 'affiliate' atau kelab bersekutu) dalam pasukan lawan mereka.

Ada saja yang tidak kena dengan SPR. SPR keluarkan undi pos dikatakan undi awal. SPR bawa peti undi, dikatakan SPR selewengkan peti undi. Aku bukannya suka sangat dengan perangai SPR yang pada aku kurang tegas, tapi lama-lama timbul rasa kesian kat SPR sebab apapun yang diorang buat serba tak kena. Kalau impaknya kat diorang je takpe. Tapi rakyat yang jadi mangsa. Itu yang buat aku tak puas hati.

Rakyat boleh jadi keliru. Rakyat mula salahkan SPR. Rakyat mula hilang kepercayaan kepada Institusi pilihan raya. Kemudian, rakyat mula hilang kepercayaan kepada sistem pilihan raya. Seterusnya rakyat mula mempersoalkan apa 'relevan' nya sistem ini. Akhirnya rakyat akan mengambil keputusan:
  1. Tidak mahu mengambil bahagian dalam aktiviti berkaitan pilihan raya; atau
  2. Meluahkan rasa ketidakpuasan hati secara terbuka dengan mengadakan demonstrasi.
  3. Satu lagi yang mintak dijauhkan adalah 'rusuhan'. Inilah impak sekiranya rakyat sudah tidak lagi mempercayai sistem. Kalau ada rusuhan, maka darurat akan diumumkan. Aktiviti politik  digantung, jadilah macam Myanmar. Barulah padan muka... Semua orang jadi susah. Yang diharapkan oleh 'Dr. Spinner' adalah agar rakyat membenci SPR, hasil rasa simpati kerana kononnya tiada keadilan dalam pertandingan, sokongan dan undi rakyat akan diraih. Permainan yang sangat bahaya. 

Kalau nak komen pasal kes undi pos dan undi awal, aku rasa memang orang kita ni malas membaca. Kalau baca portal PRU yang SPR buat tu, aku rasa budak darjah 3 pun paham. Beza undi pos dengan undi awal...

"Apakah Beza Antara Pengundi Pos dengan Pengundi Awal?

Pengundi Pos adalah golongan berkelayakan yang dinyatakan dalam Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 yang perlu memohon untuk mengundi secara pos menggunakan Borang 1A.
Pengundi Awal adalah mereka yang dinyatakan oleh Peraturan 27A dalam Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003. Mereka hadir mengundi di Pusat-Pusat Pengundian Awal beberapa hari lebih awal daripada tarikh Hari Pengundian sebenar."


Dah baca? Dah faham??...bagusss. Kan mudah... Sebab tu apa yang sesetengah orang kata, SPR mengelirukan tu tak tepat. Ada gak yang cuba berhujah kononnya sebab dah tercatat dalam surat khabor. Mungkin orang surat khabor tu silap catat ke, atau dia tak habis catat ke, manalah tau. Tapi kalau tengok penjelasan dalam portal PRU 13 milik SPR memang jelas. Yang herannya, ada sebahagian yang dulu katanya sibuk nak boikot surat khabor, radio dan tv. Tapi awat la ni buat rujukan kat surat khabor pulak?

Satu lagi kes kononnya SPR bawa peti undi dalam pajero siap ada styrofoam menuju ke kawasan perindustrian Sg Chua. Nak minta penjelasan SPR. Bagi akulah, kalau SPR bawa peti undi, kira oklah sebab memang tugas dia bawa dan simpan peti undi. Kalau dengan styrofoam tu, setahu aku peti undi semuanya dibuat dengan plastik lutsinar. Kecuali aku pernah tengok kat Sarawak masa PRU DUN Sarawak, beg peti undi yang ada styrofoam. Kata petugas SPR untuk digunakan bagi membawa peti undi ke kawasan pedalaman menggunakan jalan air. Memang masuk akal, sebab benda tu boleh terapung atas air. Kalau tak, mahu tenggelam peti undi kalau terjatuh ke dalam sungai. Akhirnya 'menuju ke kawasan perindustrian Sg. Chua Kajang'. Aku pernah pergi kawasan tu. Itu memang kawasan industri. Secara logik, mungkin peti undi ke atau beg peti undi tu dibuat di sini. Namapun kawasan industri. Apa yang nak diherankan??11

Aku dapat rasakan betapa stressnya orang-orang yang kerja kat SPR untuk terus menjawab soalan-soalan macam ni. Sabarlah. Kalau kamu di pihak yang benar, kebenaran akan muncul berkat kesabaran kamu. Tapi nak make sure semua rakyat Malaysia faham akan proses dan situasi, memang akan buat SPR demam!!



Jumaat, 26 April 2013

DEMAM PILIHAN RAYA 2.0: SPR vs NGO



Masih demam. Kali ini bukan disebabkan oleh penyokong-penyokong parti, tapi disebabkan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO). Pada mulanya, cara mereka menyampaikan idea tentang reformasi pilihan raya nampak neautral dan non partisan. Namun, semakin hari tindak tanduk mereka semakin menjurus kepada tindakan berpihak. Yang demam tentulah SPR.

Dulu, aku memang pantang kalau dok sebut SPR ni. Analogi aku terhadap peranan SPR ni tidak lebih macam pengadil rancangan gusti WWE kat TV. Watak sampingan yang tugasnya menyedapkan cerita. Masa penggusti jahat kena belasah dengan senjata terlarang, masa tulah dia nak pengsanlah, nak bertekak dengan penggusti yang kat luar gelangganglah, macam-macam lagilah perangai, demi menghalalkan tindakan penggusti jahat membelasah penggusti pujaan ramai. Dia buat-buat tak nampak je 'ketidakadilan' yang berlaku. Bila dah selesai, elok pulak dia berpaling kat tempat kejadian. Masa tu, penggusti pujaan dah lembik tak berdaya dan penggusti jahat elok je buat muka baik dan tak bersalah.

Aku juga sangsi dengan usaha orang-orang kat SPR dalam menyelesaikan masalah yang datang. Tapi bila aku mula baca, borak dengan kawan-kawan yang pernah jadi petugas SPR dalam pilihan raya dan pernah gak datang melawat SPR untuk dengar taklimat mereka, barulah aku rasa yang SPR ni, ok gaklah... mereka dah buat sehabis baik cuma masih banyak cabaran yang mereka perlu tempuh. Hehehehehe... cuma nak bagitau, aku berubah pandanganpun bukan mudah. Letih gak pegawai SPR nak melayan soalan-soalan yang aku kemukakan. Bukan setakat kat situ, lepas tupun aku hantar soalan-soalan yang berlegar kat kepala otak aku kepada pegawai tu. Cuma, akhirnya, aku rasa pegawai tu berjaya jawab dengan ikhlas semua soalan aku dan aku puas hati dengan jawapan tersebut. 

Camana aku tak puas hati, aku dah baca semua yang patut sebelum post soalan kat dengan pegawai tu. Semua jawapan dia 'make sense' jugaklah... taklah perfect sangat, tapi oklah dan 'acceptable'... aku datang dengan anggapan 'dunia  ni sepatutnya sempurna... pilihan raya kena la sempurna', tapi rupa-rupanya semua perkara pokok bagi menjamin prinsip 'ketelusan' dan 'kerahsiaan undi' telahpun dilaksanakan oleh SPR. Mungkin perlukan sedikit penambahbaikan bukan perkara pokok yang perlu diubah, tapi lebih kepada usaha 'menambah keyakinan' dan 'keselesaan' kepada pengundi...itu saja.

Cuma nasihat aku kepada SPR, korang cubalah usahakan supaya semua rakyat Malaysia ni tahu dan faham dengan setiap proses dan aktiviti pilihan raya. Oleh sebab korang diam dan takde usaha nak memaklumkan tentang prinsip 'ketelusan' dan 'kerahsiaan undi' kepada rakyat, itu yang rakyat semakin sangsi dan konpius... apa lagi kalau ada pihak-pihak lain yang sibuk menyucuk jarum untuk menambah 'keraguan' terhadap proses yang dilaksanakan oleh SPR. Janganlah bila mintak baru nak bagi... pro aktiflah sikit!! 

Tapi.... lately, aku rasa makin tak puas hati, dahlah SPR tak laksanakan tanggungjawab mendidik pengundi, ada pulak NGO yang nak jadi SPR!! Kononnya lebih bagus daripada SPR. Cukuplah, ini bukan gelanggang pertandingan tarian SUPERSTAR, yang nak bertanding skil siapa lagi bagus... SPR sebuah institusi, kalau nak bagi cadangan hantar je ke SPR atau datang sendiri dan tunjukkan kat mereka. tak perlu kelirukan lagi pemikiran rakyat yang dah memang tengah keliru dengan peperangan maklumat oleh parti-parti bertanding. Macam mana SPR tak demam??!!

ps: Tahniah SPR sebab wujudkan portal khas untuk rujukan para pengundi. Portal www.pru13.gov.my sangat berguna dan sangat berinformatif. Cuma kalau boleh tambahlah tahap kreatif korang. Banyak sangat tulisanlah...banyakkanlah 'visual' dan gunakanlah teknologi multimedia. Bangunlah!! ni dah zaman milenium, zaman digital, zaman siberlaahh...